TIPS MUDAH DAN BERKESAN MANTAPKAN TAJWID




Al-Quran merupakan kalam Allah yang diturunkan kepada seluruh umat untuk menerangi kegelapan hati dan memberi cahaya dalam kehidupan. Setiap bacaan yang menjadi sebutan di bibir dan getaran pada jiwa akhirnya akan menjalar ke seluruh saluran nadi.

Adakah anda selalu berasa susah untuk membaca Al-Quran?

Adakah anda sering membaca Al-Quran tetapi bacaan anda masih belum lancar dan tidak betul?

Jadi, hari ini saya nak kongsikan tips mudah dan berkesan untuk memantapkan Tajwid dalam membaca Al-Quran.

1. Niat yang Betul



Pertama sekali, kita perlu betulkan niat kita sebelum memulakan pembacaan. Tetapkan niat  membacanya hanya kerana Allah dan ingin melancarkan cara pembacaan kita bukan untuk menunjuk-nunjuk, bukan juga kerana mengikut trend.


Dengan niat yang betul, InshaAllah, Allah akan membantu dan memudahkan ketika membacanya. Ingatlah bahawa Nabi Muhammad SAW digelarkan sebagai 'Al-Quran bergerak' kerana baginda tidak hanya membaca dan mengalunkan Al-Quran, tetapi baginda juga turut menghidupkan apa yang terkandung dalam Al-Quran tersebut.

2. Ambil Wudhuk




Sebelum kita mula membaca Al-Quran, eloklah kita mengambil wuduk sebagai persediaan mental dan fizikal yang baik.

Ia juga untuk mengingatkan bahawa kita bukan sekadar membaca ‘buku’ yang biasa. Sebenarnya anda ingin berhubung dengan Allah.

Oleh itu, perlulah anda menjaga kebersihan diri dan jadikannya sebagai satu keutamaan yang penting apabila kita ingin menghadap Allah SWT.

3. Baca Al-Quran sekurang-kurangnya 10-20 minit setiap hari




Selalunya kita beranggapan bahawa kita patut membaca Al-Quran sekurang-kurangnya sejam atau lebih. Sebagai permulaan, mulakan dengan 10 minit sehari.

Apabila anda memulakan langkah pertama ini, InsyaaAllah, lama-kelamaan tanpa kita sedar 10 minit itu akan bertukar menjadi 20 minit, 20 minit akan menjadi setengah jam, dan seterusnya menjadi sejam. Dan mungkin lebih lagi.

4. Kerap mendengar alunan bacaan Al-Quran



Di era yang serba canggih ini, jangan terhadkan diri kita untuk semakin merapatkan diri dengan kalam Allah ini.

Muat turun aplikasi dan audio ke dalam telefon pintar kita, dengan cara ini kita boleh mendengar alunan Al-Quran setiap masa dan secara tidak langsung dapat memperbaiki bacaan kita dari semasa ke semasa.

5. Belajar Tajwid


Sedar tidak sedar, alunan Al-Quran itu sendiri adalah salah satu seni terhebat yang boleh kita lakukan.

Untuk baca dengan makhraj betul, kita mestilah belajar hukum tajwid. Keindahan alunan bacaan ayat suci Al-Quran akan pudar tanpa hukum tajwid yang betul. Oleh itu belajarlah dan amalkan hukum tajwid yang betul.

Pada masa yang sama, kita juga boleh mempelajari asas tajwid dengan menggunakan Al-Quran yang hukum bacaannya dicetak dalam warna yang berbeza untuk membantu kita mengenalpasti sesuatu hukum dengan mudah.

6. Cari Pembimbing


Al-Quran menggunakan Bahasa Arab iaitu bukanlah bahasa harian kita. Oleh itu, kita memerlukan seorang guru untuk melihat pembacaan kita. 

Anda boleh pilih seorang pembimbing daripada kalangan rakan sebaya, keluarga atau ustaz dan ustazah. 

Jadi, pilihlah seorang yang sesuai menjadi pembimbing anda dalam membaca Al-Quran ini. 

Tidak perlulah kita terburu-buru untuk cepat lancar, sebaliknya teliti dan perbetulkan secara perlahan-lahan supaya anda akan lebih mudah untuk mengingati kesalahan anda sekaligus melancarkan bacaan. 

7. Berdoa kepada Allah


Apa pun yang kita lakukan, mohonlah kepada Allah supaya Allah membantu kita dalam usaha memantapkan bacaan Al-Quran.

Tujuan kita berdoa adalah untuk mengharap keredhaan dan rahmat daripadaNya.

Oleh itu, doa adalah alat terbaik untuk memudahkan kita mendapat petunjuk dan panduan daripada Allah.

Kesimpulan

Akhir kata, tips yang paling penting adalah kita mesti KONSISTEN.

Sentiasa konsisten setiap hari dalam membaca Al-Quran, supaya kita semakin mahir. 'Practice makes perfect.'

Baca sebanyak mungkin yang boleh, sekerap mungkin yang boleh. Tiada yang boleh menggantikan disiplin ini.

InsyaaAllah, pasti Allah akan memudahkan segala gerak kerja kita dalam mengapai redhaNya. Semoga bermanfaat!

Nabilah Johari

.....................................................................

Artikel ini dikarang oleh salah seorang guru mengaji kami yang mengajar di sekitar Serdang.

Semoga ianya bermanfaat untuk kita baiki semula tajwid kita.

Berminat nak cuba servis mengaji dengan kami?

Tekan sini

Comments